MANCHESTER – Paul Pogba mengambil keputusan tidak akan membuat rayuan terhadap layangan kad merah yang diterimanya ketika Manchester United menundukkan Arsenal 3-1, awal pagi Ahad lalu.

Pemain kebangsaan Perancis itu diperintah keluar padang pada babak kedua selepas memijak kaki Hector Bellerin yang menyebabkan akan digantung tiga perlawanan liga.

Keputusan tersebut menyaksikan bintang tengah itu dipinggirkan dalam aksi penting menentang Manchester United pada Ahad ini selain pertemuan dengan Bournemouth dan West Brom.

Bagaimanapun, pengurus Jose Mourinho memberitahu, aksi Pogba akan tetap digunakan pada aksi Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow awal pagi esok.

“Dia akan bermain pagi esok kerana Dia tidak digantung untuk perlawanan Liga Juara-Juara.

“Kami hanya mempunyai masa selama dua hari menjelang pertemuan dengan CSKA dan sudah pasti pemain akan keletihan.

“Namun Pogba begitu teruja untuk beraksi dan cuba mengekalkan momentumnya sejak pulih daripada kecederaan. Dia pemain yang luar biasa,” kata Mourinho kepada Mirror.co.uk.

Sementara itu, Mourinho mengesahkan United tidak akan diperkuat Nemanja Matic yang bergelut dengan kecederaan dan Zlatan Ibrahim yang terpaksa direhatkan kerana enggan mengambil risiko terhadap kecederaan lututnya. – MalaysiaGazette