LONDON – Atletico Madrid tersingkir daripada Liga Juara-juara Eropah selepas terikat 1-1 dengan Chelsea yang menyaksikan kelab England itu dinafikan menjadi juara kumpulan C.

Ia merupakan petang yang mengecewakan untuk kedua-dua kelab pada pertembungan di Stanford Bridge apabila sasaran kedua-dua pasukan dalam perlawanan terakhir kumpulan tidak tercapai.

Atletico perlu menang pada perlawanan itu untuk mara ke pusingan seterusnya namun jaringan Saul Niguez menerusi tandukan pada separuh masa kedua untuk membolehkan pasukan pelawat mendahului tidak mencukupi apabila Stefan Savic menjaringkan gol sendiri.

Pada akhirnya, kemenangan Roma ke atas Qarabag dalam satu lagi perlawanan kumpulan C membuatkan keputusan itu tidak relevan kepada pasukan bimbingan Diego Simeone yang gagal layak ke pusingan yang membabitkan 16 pasukan untuk kali pertama sejak musim 2009-10.

Ia murupakan saat yang perit untuk Atletico selepas menjadi naib juara Liga Juara-juara Eropah pada 2014 dan 2016 dan kini mereka akan beraksi dalam Liga Europa.

“Ia adalah asam garam dunia bola sepak. Ia mengecewakan tetapi tiada alasan untuk diberi. Ia adalah tanggungjawab kami.

“Ia boleh menjadi cabaran baharu. Kami boleh menjadikannya positif pada sesuatu yang buruk,” kata Simeone seperti dipetik AFP.

Chelsea yang telah layak ke pusingan kalah mati namun keputusan itu menguburkan peluang mereka untuk menjuarai kumpulan dan mendapat lawan yang lebih mudah pada undian yang akan dijalankan.

Kalah dan seri ketika menentang Roma, Cheksea mengakhiri persaingan kumpulan di tempat kedua di belakang pasukan itali itu berdasarkan rekod pertembungan antara kedua-dua pasukan tersebut.

Ia meupakan berita buruk buat pasukan bimbingan Antonio Conte yang mungkin berhadapan pasukan gergasi seperti Barcelona, dan Paris Saint-Germain pada undian pada minggu depan.

“Kami mencipta banyak peluang. Apabila anda bermain cara ini dan mencipta banyak (peluang) anda perlu berpuas hati.

“Lawan kami (pada pusingan berikut) tidak akan gembira untuk menentang kami,” kata Conte. – MalaysiaGazette