Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pucuk pimpinan tertinggi Pakatan HARAPAN bergambar ketika hadir pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2018.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengadakan konvensyen gabungan parti pembangkang kali ke-2 di Ideal Convention Centre (IDCC) disini hari ini.

Dianggarkam kurang 1,000 perwakilan daripada PKR, PPBM, DAP dan PAN hadir pada konvesyen yang sama.

Dijangkakan gabungan pembangkang itu akan mengumumkan calon Perdana Menteri termasuk beberapa perkara penting berkaitan PRU-14.

Walaupun sudah mengadakan mesyuarat Majlis Presiden pada Khamis lalu, namun parti iti enggan mendedahkan perkara itu.

Rata-rata pemimpin PH ditemui mengatakan tunggu hari ini untuk pengumuman itu.

Terdahulu, isu calon PM tercetus apabila permukiman Pakatan Harapan di Putrajaya dilaporkan mencadangkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri jika parti pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN).

Kemudian PKR dikatakan belum memberi persetujuan sebelum menerima keputusan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara.

Parti itu pula dikatakan mengenakan tiga syarat sebelum bersetuju dengan cadangan PH untuk menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri pada PRU-14 akan datang.

Antara syaratnya ialah sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU-14, Anwar perlu dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Syarat kedua, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Ketiga, Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini.

Namun Mahathir kemudiannya menafikan syarat-syarat berkenaan dan dalam masa yang sama Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dilihat enggan mengulas perkara itu. – MalaysiaGazette

Comments are closed.