Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sempat berswafoto dengan sebahagian hadirin pada Majlis Perjumpaan Bersama Pengetua dan Guru Besar Sekolah Di Daerah Hulu Langat dan Penyampaian Bantuan Penyelenggaraan Untuk Sekolah-Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 22 JANUARI 2018

KAJANG –  Sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bandar Bukit Mahkota dekat Bangi akan dibina kerajaan ekoran kepadatan pelajar di sekolah sedia ada.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan menyenaraikan cadangan pembinaan sekolah itu mengikut keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

“Saya dimaklumkan hanya ada sebuah SMK di sini yang mempunyai bilangan pelajar seramai 3,000 orang.

“Kita juga ada bajet sebanyak RM31.2 juta untuk membina sebuah Sekolah Kebangsaan Pelangi Semenyih yang mempunyai 24 bilik darjah,” katanya.

Mahdzir berkata, pihaknya juga mahu memastikan murid berkeperluan khas seperti murid pendidikan khas mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang relevan dengan keperluan mereka.

“Melihat kepada kesesakan yang berlaku di Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra, sekolah ini mempunyai 73 pelajar dan kelasnya agak sempit.

“Kita akan mewujudkan kelas PPKI yang baharu di Sekolah Kebangsaan Bangi. Kita juga akan menguruskan segala keperluan bagi memastikan kelas PPKI yang baharu ini dapat beroperasi dengan lancar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Dialog Bersama Menteri dengan Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir melakukan walkabout di tujuh buah sekolah di dalam daerah Hulu Langat.

Mengulas mengenai lawatannya Mahdzir berkata, berdasarkan pemerhatian sepanjang walkabout itu, KPM melihat banyak sekolah di daerah Hulu Langat memerlukan kerja pembaikan bagi memberi keselesaan kepada murid dan tenaga pengajar.

“Kita telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada tujuh sekolah di daerah Hulu Langat bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang kritikal di sekolah masing-masing,” katanya.
– MalaysiaGazette