Datuk Azam Baki
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat berhubung siasatan dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sehingga kini, pasukan penyiasat telah merekod keterangan 76 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan dan saya jangka ramai saksi baharu akan dipanggil dan saya tidak menolak mungkin ada tangkapan dibuat.

“Cuma saya tak mahu sebut bila dan siapa dia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Paluan Berundur Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah sebagai timbalan ketua pesuruhjayanya di ibu pejabat SPRM hari ini.

SPRM pada 10 Januari lalu menahan reman Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Syarikat Pembangunan Hartanah berpangkat Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Selasa, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, terdiri daripada beberapa syarikat.

Azam juga menafikan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menuduh SPRM bersikap double standard dalam siasatan kes berkenaan susulan serbuan ke atas agensi kerajaan negeri itu.

“Kita tak pernah double standard, malah kita sangat profesional dalam tugas kami,” tegasnya.

Ditanya tentang laporan sebuah akhbar tempatan tiga hari lalu yang mendedahkan beberapa ahli politik didakwa menerima sogokan dalam projek itu, beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Siasatan sedang dijalankan, sesiapa saja yang terlibat dalam menerima apa-apa rasuah, kita akan siasat.

“Jadi saya tak nak namakan sesiapa atau ahli politik ataupun sesiapa saja, itu laporan daripada akhbar.

“Kita juga melihat kepada semua sudut maklumat yang diberi, bahkan di media sosial, tidak semua maklumat itu adalah benar. Kita ada akses dan ada cara tapis maklumat itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.