KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan untuk tempahan untuk 9 Mei sahaja.

Langkah itu diambil bagi memastikan warganegara Malaysia dapat menjalankan tanggungjawab dalam masa yang sama dapat merancang perjalanan mereka.

“Tawaran ini hanya sah kepada warganegara Malaysia sahaja, dan mestilah dibuat dalam masa sepuluh hari dari pengumuman tarikh mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Langkah diambil selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bahawa tarikh mengundi adalah pada 9 Mei sementara itu 28 April sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei pula tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 11 hari bermula hari penamaan calon.

AirAsia dalam masa sama menasihatkan orang ramai tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan, dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih untuk kemudahan mereka. – MalaysiaGazette