Home Ekonomi Arab Saudi mahu pelajari model PNS

Arab Saudi mahu pelajari model PNS

Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin

KUALA LUMPUR Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) merancang untuk melebarkan sayap ke luar negara dengan Arab Saudi menjadi negara pertama singgahannya.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, mereka sudah mengadakan perbincangan dan sangat berminat untuk menubuhkan sebuah syarikat milik negara mengikut model PNS yang diketahui mapan.

“Arab Saudi kini mengamalkan ekonomi yang lebih terbuka dan menggalakkan rakyatnya untuk bekerja.

“Jadi memang ada pegawai-pegawai dari sana yang bertemu kami untuk berbincang dan melakukan kajian lapangan bagi mengadakan satu pameran francais di negara tersebut pada bulan Oktober ini,” katanya.

Tambah Syed Kamarulzaman, selain itu, kerajaan Arab Saudi turut berminat untuk melihat model Akademi PNS seperti modul trainers on trainers (ToT) serta mempelajari jatuh bangun PNS semasa membangunkan sebuah entiti pertama yang menggalakkan usahawan menyertai bidang francais di negara ini.

“Kita telah berjaya melaksanakannya di sini dan kita cuba bantu orang lain tambahan pula Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang sangat selama ini,”katanya lagi.

Menurut Syed Kamarulzaman, keterbukaan Arab Saudi di dalam aktiviti ekonomi dan sosialnya seperti membuka panggung wayang dan membenarkan kaum wanitanya memandu membuka peluang kepada syarikat-syarikat luar seperti PNS untuk merebut peluang menawarkan perkhidmatan baharu kepada negara tersebut. – MalaysiaGazette