Calon Barisan Nasional Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada Program Kembara Jalinan Kasih sempena Penyerahan Rumah Baik Pulih NBOS-CTU di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2018.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada Program Kembara Jalinan Kasih sempena Penyerahan Rumah Baik Pulih NBOS-CTU di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2018.

BAGAN DATUK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL, Dr. Fadi M R Albatsh, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Ahmad Zahid yang juga Menteri DalamNegeri berkata, polis telah menemui bukti-bukti baharu berhubung siasatan terhadap kes itu.

“Polis masih belum terima laporan penuh tetapi kita telah peroleh bukti terbaru seperti jenis senjata yang digunakan, kelongsong peluru yang kita dapati di tempat kejadian dan juga penyewa kepada motosikal besar yang disewa serta homestay yang disewa, kami telah dapat maklumat mengenai itu,” katanya dalam sidang media di Bagan Datuk hari ini.

Menurutnya, polis sedang bertungkus lumus untuk menjejaki suspek kes tembak mati itu.

Berdasarkan siasatan awal, perbuatan itu dilakukan dua orang lelaki berkulit putih yang menaiki motosikal berkuasa tinggi berkuasa kuda 1100.

“Saya harap pihak PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah teruskan siasatan dan jejaki individu yang terlibat dalam pembunuhan terbabit.

Calon Barisan Nasional P.075 Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Program Kembara Jalinan Kasih sempena Penyerahan Rumah Baik Pulih NBOS-CTU di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2018

Dr. Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, suspek dipercayai melepaskan 10 das tembakan dan empat daripadanya mengenai badan mangsa.

Untuk itu, PDRM menubuhkan pasukan khas siasatan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.

Jumaat lalu, jenazah Dr. Fadi selamat dikebumikan di utara Jalur Gaza setelah diterbangkan dari Kuala Lumpur.

Hadir menyaksikan upacara pengkebumian, antaranya pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. – MalaysiaGazette