KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita berusia 25 tahun ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan pada pukul 11.45 pagi.

“Sepasukan anggota ronda pencegah jenayah telah mendapat maklumat bergegas ke lokasi di hadapan sebuah rumah di TTDI.

“Anggota polis yang tiba ke tempat kejadian telah menahan sartis popular itu sebelum membawa ke Balai Polis Brickfields.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek berjaya menemui 53 biji pil Eramin 5 dengan anggaran seberat 14.74 gram dalam beg tangannya,” kata beliau dalam kenyataan.

Tambah Mazlan, nilai rampasan dadah itu adalah bernilai RM660 dan ujian air kencing terhadap wanita itu negatif dan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia dan selepas mendapat keputusan, kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

Ujar beliau, pelakon itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Terdahulu difahamkan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu wanita itu terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ditahan polis.- MalaysiaGazette