Menteri Kerja Raya, Baru Bian. foto IQBAL BASRI, 01 OGOS 2018
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. foto IQBAL BASRI,

KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menanggung kos lebih RM400 bilion sekiranya pemansuhan tol yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dilaksanakan pada masa ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian bagaimanapun berkata, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan pemansuhan tol sehingga keadaan ekonomi negara kembali stabil.

“Saya telah maklumkan di Dewan Rakyat sebelum ini, anggaran pelepasan tol yang terlibat jika cadangan ini dilaksanakan ialah melebihi daripada RM400 bilion.

“Setelah menimbangkan faktor utama berkenaan, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan dahulu cadangan penghapusan tol sehingga keadaan ekonomi negara benar-benar stabil dan mengizinkan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Baru Bian (Selangau-PH) berkata, kerajaan mengakui bukan mudah untuk memenuhi janji manifesto PRU14 khususnya cadangan pemansuhan tol berkenaan.

“Kerajaan sentiasa sebaik mungkin bagi memenuhi janji-janji dalam buku manifesto PH, ini termasuk cadangan memansuhkan tol lebuhraya di negara ini.

“Namun begitu kerajaan mengakui cadangan itu bukan sesuatu mudah untuk dilaksanakan khususnya akibat tekanan kewangan semasa yang sedang dihadapi kerajaan,” katanya.

Katanya, kerajaan menerusi Majlis Kos Sara Hidup akan mempertimbangkan cadangan lain untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat sebelum pemansuhan tol dilaksanakan pada masa depan.

“Kerajaan telah meneliti dan mengambil kira secara mendalam pelbagai faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat cadangan penghapusan tol lebuhraya di negara ini.

“Dalam masa sama, kerajaan menerusi Majlis Kos Sara Hidup akan meneliti opsyen-opsyen lain dan lebih praktikal manfaat bagi beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette