Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya kini meningkatkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam bagi memeriksa premis yang disyaki menjual arak terbabit.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

SHAH ALAM – Jumlah kematian akibat keracunan alkohol di Selangor meningkat kepada 27 orang apabila dua lagi mangsa meninggal dunia petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua mangsa berkenaan, lelaki warga Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an dan masing-masing meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan di Hospital Selayang.

“Mangsa dimasukkan di Hospital Sungai Buloh pada 19 Sept lepas dan meninggal dunia pada pukul 4 petang tadi dan mangsa di Hospital Selayang meninggal dunia pada pukul 3 petang tadi, mangsa dimasukkan ke hospital itu bagi menerima rawatan pada 17 Sept lepas.

“Seramai 11 orang masih dirawat di beberapa buah hospital sekitar Lembah Klang manakala 21 yang lain telah dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mazlan, mangsa-mangsa yang maut terdiri daripada dua warga tempatan, Nepal (9), Myanmar (12), Bangladesh (2), India (1) dan seorang mangsa tidak diketahui identiti.

Sejak 17 September lepas, lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan arak. – Bernama