UMNO PH Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mohd Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR – Keanggotaan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam UMNO secara automatik terlucut jika menjadi calon bebas dan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara itu termaktub pada perlembagaan parti dan terpakai kepada semua anggota tanpa mengira jawatan.

“Mana-mana anggota yang menjadi calon bebas, secara automatik terlucut keanggotaannya. Ia memang sudah ada dalam perlembagaan parti.

“Kita ucapkan selamat berjaya kepada Tan Sri Isa jika benar-benar beliau hendak bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson nanti,” katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mohd Isa yang dilapor akan bertanding atas tiket bebas dalam PRK itu nanti.

Mohd Sharkar berkata, bagaimanapun, sebarang tindakan disiplin termasuk pemecatan Mohd Isa bergantung kepada pucuk pimpinan dan Lembaga Disiplin parti.

Terdahulu, Mohd Isa memutuskan untuk bertanding atas tiket bebas selepas BN sebulat suara memboikot PRK berkenaan dengan tidak meletakkan calon.

Penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR bertanding dan kembali ke Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon dan 13 Okt sebagai hari mengundi.

— BERNAMA