Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman.
Datuk Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU — Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan pihak polis menahan Azman Noor Adam di bawah Akta Hasutan atas dakwaan menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau sendiri agak terkejut kerana polis menggunakan akta berkenaan sedangkan masih terdapat akta-akta lain yang boleh digunakan untuk menyiasat dan mendakwa Azman, adik kepada Anggota Majlis Tertinggai (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

“Saya tidak pernah kata saya setuju polis menggunakan Akta Hasutan untuk adik Lokman Noor Adam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Usahawan Sabah 2018, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kritikan banyak pihak terhadap pihak berkuasa yang menggunakan akta itu sedangkan kerajaan Pakatan Harapan dalam kempen pilihan raya umum lalu turut menentang penggunaan akta itu dan berhasrat memansuhkannya.

Bagaimanapun, Mohd Aziz berkata tindakan polis menggunakan akta berkenaan adalah sah kerana akta itu masih wujud dan belum dimansuhkan.

Azman direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana tindakannya berkongsi satu pautan gambar menghina Dr Mahathir menerusi akaun Facebook miliknya.

— BERNAMA