Teresa Kok menyampaikan cenderahati kepada Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan sejurus selepas perjumpaan pada 5 Oktober 2018.

BRUSSELS – Malaysia akan mencalonkan pakar tempatan untuk menyertai panel Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung Suruhanjaya Eropah.

Panel ini  boleh memberi impak kepada penggunaan minyak sawit dalam campuran bio bahanapi di bawah Perintah Tenaga Boleh Baharu II Eropah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Eropah ini yang akan membenarkan perundingan diadakan antara pengeluar minyak sawit, termasuk pakar minyak sawit Malaysia mengenai prinsip-prinsip saintifik utama di bawah ILUC.

“Proses rundingan ini amat penting kerana kita tidak mahu minyak sawit kita didiskriminasi,” kata beliau yang mengetuai misi minyak sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium.

Rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai tinggi Kesatuan Eropah di sini.

ILUC secara amnya tidak disokong oleh pihak industri dan pakar akademik disebabkan ianya berdasarkan prinsip-prinsip yang belum dibuktikan.

Sememangnya, asas bagi definisi konsep ILUC belum disahkan secara universal, termasuk dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.

Malaysia bimbang ini mungkin akan menentukan penggunaan minyak sawit masa depan sebagai sebahagian daripada mandat RED II Kesatuan Eropah.

“Panel pakar Suruhanjaya Eropah akan melawat Malaysia pada akhir bulan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pakar kita mengenai isu-isu ini. Pakar-pakar kita akan menyertai panel ini,” kata Kok.

Menteri turut menegaskan amat penting bagi panel pakar Suruhanjaya Eropah berkenaan ILUC ini untuk melihat secara dekat amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit Malaysia supaya mereka menghargai kerumitan Malaysia menghasilkan minyak sawit mampan.

Langkah ini dianggap positif memandangkan terdapat kebimbangan bahawa Suruhanjaya Eropah akan menggunakan kriteria ILUC untuk menyekat secara berperingkat minyak sawit dalam mandat Perintah RED II Suruhanjaya Eropah.

“Malaysia bersedia untuk mendengar dan berunding secara aktif dalam sebarang perbahasan mengenai ILUC. Bagaimanapun, kita menegaskan bahawa ILUC tidak sepatutnya menindas minyak sawit atau minyak sayuran lain.

“Sekiranya kriteria yang mentakrifkan ILUC tidak berlandaskan prinsip-prinsip saintifik
yang diterima pakai, Malaysia akan menggunakan pelbagai forum rundingan dan perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan hasil yang saksama bagi eksport minyak sawit kita,” katanya. – MalaysiaGazette