Kapal mewah Equanimity
Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dipercayai milik seorang ahli perniagaan, Jho Low di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan kapal mewah ‘Equanimity’ sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pemilik berdaftar gagal hadir untuk menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal tersebut.

Peguam Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan perundangan bagi plaintif berkata ia diputuskan mahkamah ketika membenarkan permohonan 1MDB dan kerajaan untuk mendapatkan perintah penghakiman ingkar setelah pemilik pendaftar kapal tersebut tidak memfailkan kehadiran dalam saman berkenaan.

Beliau berkata keputusan dibuat di dalam kamar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Khajidah Idris.

“Mahkamah hari ini memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiari kapal. Sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat ini.

“Kini kapal itu boleh dijual tanpa sebarang kekangan undang-undang. Pihak defendan, walaupun tahu tentang saman ini, tidak hadir sehingga sekarang. Ini tidaklah memeranjatkan kerana tuntutan serta bukti yang ada cukup banyak dan mereka mengambil kira bahawa amat sukar untuk menafikan 1MDB dan kerajaan memiliki kapal itu,” katanya.

Menurut Sitpah, bukti menunjukkan duit 1MDB dan kerajaan digunakan dalam pembelian kapal itu.

“Selepas berpuas hati ia kes yang mempunyai asas kukuh, mahkamah membuat penghakiman memihak kepada syarikat 1MDB. Sehubungan itu, tanpa ragu-ragu lagi kapal tersebut adalah milik negara,” katanya.

Mengenai proses penjualan, Sitpah berkata broker kini giat menguar-uarkan serta memasarkan kapal itu dan dijangkakan tender diterima menjelang penghujung bulan ini.

Beliau juga berkata mana-mana pihak yang memenuhi kriteria kewangan, layak membida dan semua pihak akan menerima layanan yang sama. – MalaysiaGazette