Baru Bian
Baru Bian

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, dilantik semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.

Menteri Kerja Raya itu dipilih selepas selesai proses perbincangan dan rundingan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua-Ketua Cabang negeri Sarawak.

Mesyuarat bersama Anwar dan 27 Ketua Cabang negeri itu  diadakan di sini kelmarin.

Bagaimanapun, Baru tidak menghadiri mesyuarat itu kerana menjalankan tugas rasminya di Lawas, kata parti itu dalam satu kenyataan.

Di Kuala Lumpur pula, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, dilantik sebagai Pengerusi PKR Pahang.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan sebagai mewakili Anwar.

PKR pada Khamis lalu mengumumkan enam pengerusi MPN iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak); Amiruddin Harun (Negeri Sembilan); Datuk Johari Abdul (Kedah); Datuk Christina Liew Chin Jin (Sabah); Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Halim Bachik (Melaka).

Kelmarin, PKR mengumumkan lima lantikan baharu Pengerusi MPN iaitu Hassan Abdul Karim (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Amran Kamarudin (Perlis), Amirudin Shaari ( Selangor) dan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor​​​​​ (Kelantan).​​ – MalaysiaGazette