Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Keputusan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan pengerusi negeri parti itu bukan dibuat secara peribadi, sebaliknya ia dilakukan selepas rundingan dengan ketua-ketua cabang selama sebulan, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, mengikut perlembagaan parti berkenaan dalam hal melantik pengerusi negeri, presiden haruslah melakukan pelantikan setelah berunding dengan ketua-ketua cabang.

“Jadi adakah dia (Anwar) sudah berunding? Ya. Dengan semua ketua cabang? Ya. Dari Perlis hingga Sabah? Ya.

“Kalau terus dipertikaikan ia jadi tak cantik. Kalau semua orang menghormati keputusan itu akan melegakan dan tidak timbul masalah dan parti tak perlu pelan pemulihan dan sebagainya kerana semua (syarat) itu telah dipenuhi,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Transformasi Peniaga dan Penyerahan Kenderaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Bekas Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Latheefa Koya sebelum ini dilaporkan membidas parti itu yang didakwa mengamal kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri termasuk pelantikan anak presiden, Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Isnin lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Pada hari sama juga, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengumumkan secara rasmi meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor.

Mengenai Nurul Izzah, Saifuddin berkata sokongan daripada 13 ketua cabang di Pulau Pinang untuk Nurul Izzah adalah kuat dan kerana itu, tidak banyak pilihan untuk Anwar selain melantik Nurul Izzah.

“Tetapi kalau dia (Nurul Izzah) ubah keputusan itu lebih baik. Kalau itu tidak berlaku saya percaya presiden (PKR) akan meneliti semula kalau ada keperluan tapi buat masa sekarang Nurul Izzah sudah buat ketetapan untuk tidak menerimanya dan tidak bercadang untuk ubah fikiran. Begitu juga di Johor,” katanya.

Saifuddin turut ditanya sama ada PKR ada menerima permohonan baharu daripada anggota UMNO, beliau berkata: “Tiada setakat ini.”

Baru-baru ini, enam Anggota Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mereka ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid; Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).

Pada 12 Dis lepas, hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah termasuk lima anggota Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri dan dua senator mengumumkan keluar parti. – MalaysiaGazette