Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

PETALING JAYA – Satu jawatankuasa membabitkan pakar mata pelajaran Sejarah dalam Kementerian Pendidikan bersetuju bahawa subjek Sejarah sekolah rendah meliputi terlalu banyak unsur subjek lain.

Berikutan daripadanya, jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk menilai semula dan mengubah kandungannya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementerian telah mengaturkan pertemuan antara wakil pertubuhan Cina untuk bertemu jawatankuasa itu serta pihak berkepentingan lain.

“Pertemuan diadakan pada 25 September dalam keadaan yang baik,” katanya kepada Sinchew Daily.

Jelasnya, Bahagian Buku Teks sejak 2014 telah mengadakan lapan bengkel berhubung cadangan pertubuhan Cina untuk menambah baik buku teks sekolah rendah.

Pembetulan juga dilakukan ke atas kesilapan penterjemahan dan masalah teknikal yang lain.

Menurut Sinchew Daily, cadangan 10 pertubuhan Cina mengenai buku teks Sejarah termasuk memasukkan kandungan mengenai pengaruh budaya India dalam kerajaan-kerajaan Melayu apabila membincangkan topik kerajaan Melayu awal dalam buku teks tahun empat.

Untuk buku teks tahun lima pula, tema sistem beraja dicadangkan ditukar kepada sistem beraja dan raja berperlembagaan; tema Islam ditukar kepada Islam serta agama dan kepercayaan utama yang lain; tema bahasa Melayu ditukar bahasa Melayu dan bahasa-bahasa ibunda kaum.

Kandungan mengenai penentangan penjajahan dicadangkan ditambah kandungan kesengsaraan semasa pendudukan Jepun dan bagaimana pejuang pelbagai kaum menentang Jepun.

Kandungan mengenai pencapaian bidang sukan dan ekonomi dalam buku teks tahun enam pula dicadang supaya dimansuhkan kerana tidak mempunyai kaitan dengan mata pelajaran Sejarah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan