Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Penghijrahan pemimpin-pemimpun UMNO secara beramai-ramai dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan antara punca populariti Tun Dr Mahathir Mohamad menurun.

Tentunya dengan menerima masuk wakil-wakil rakyat UMNO itu akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa Pakatan Harapan sedang mengkhianati mandat yang diberikan.

Sehubungan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak seharusnya memandang sinis pandangan Rafizi Ramli tentang populariti beliau yang menurun kerana ia melibatkan prestasi Kerajaan Persekutuan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Nasional, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Perdana Menteri perlu menerima pandangan Rafizi sebagai sesuatu yang positif kerana kajian itu mampu membantu kerajaan memperkukuh sokongan rakyat khususnya orang melayu.

Terdapat kebimbangan sokongan kaum Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan perkara ini perlu ditangani dengan bijak, katanya.

Baru-baru ini, Rafizi memberitahu, kaji selidik bulanan yang dijalankan mendapati populariti Perdana Menteri menjunam sebanyak 19 peratus kepada 53 peratus berbanding 72 peratus pada bulan Jun tahun ini.

Terdapat penurunan mendadak sebanyak 20 peratus dalam kalangan responden dari ketiga-tiga kaum – Melayu (dari 66 peratus kepada 45 peratus), Cina (dari 87 peratus kepada 65 peratus) dan India (dari 84 peratus kepada 64 peratus).

Syed Badli berkata, tentunya penurunan populariti ini bukanlah perkara yang baik untuk Kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan perlu lebih fokus dalam menunaikan janji-janji kepada rakyat khususnya dalam memperkemas keselesaan rakyat.

“Saya berpandangan isu penghijrahan UMNO secara beramai-ramai kepada Pakatan Harapan menyumbang kepada kadar penurunan populariti tersebut.

“Rakyat telah membuat keputusan berani dengan menolak rejim UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

“Tentunya dengan menerima masuk wakil rakyat UMNO yang melompat akan mencetuskan kebimbangan,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu membuat ketetapan berkaitan isu penghijrahan UMNO untuk meredakan kebimbangan umum. – MalaysiaGazette