Tulisan Rafi Awg Kecik bertarikh 22 Disember lalu berhubung dakwaan pembahagian projek oleh Kementerian Pendidikan.
Tulisan Rafi Awg Kecik bertarikh 22 Disember lalu berhubung dakwaan pembahagian projek oleh Kementerian Pendidikan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menafikan tuduhan kononnya tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama sekolah dibolot oleh penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang rapat dengan menteri dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu.

Jurucakap kementerian memberitahu, di bawah pentadbiran baharu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Persekutuan, pihaknya berusaha untuk memastikan amalan berintegriti, termasuk membuat penambahbaikan kepada tadbir urus tender projek.

“Dengan ini, kementerian menafikan tulisan laman Facebook di bawah akaun Rafi Awg Kechik yang membuat tohmahan liar bahawa tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama sekolah telah dibolot oleh penyokong PPBM.

“Tuduhan juga kononnya projek itu diluluskan kepada penender yang tidak layak dan kepada pihak yang rapat dengan menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

“Tulisan pemilik akaun tersebut adalah satu tohmahan liar dan fitnah jahat yang bertujuan untuk memburukkan imej Menteri Pendidikan dan kementerian ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut jurucakap kementerian itu lagi, Lembaga Perolehan Kementerian Pendidikan (LPKP) telah membuat keputusan berdasarkan matriks penilaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, yang markah penilaian juga dijana melalui sistem e-Perolehan (eP).

Katanya, LPKP yang dipengerusikan Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha kementerian turut disertai wakil dari Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.

Ini katanya, bagi memastikan keputusan dibuat dengan penuh integriti dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Menteri, KSU, Setiausaha Politik Menteri dan Setiausaha Bahagian Perolehan kementerian tidak terlibat sama sekali dalam mesyuarat Lembaga Perolehan dan tidak terlibat dalam sebarang proses membuat keputusan.

“Kementerian Kewangan di bawah kerajaan baharu, melalui suratnya bertarikh 29 Jun 2018 kepada semua kementerian mengarahkan supaya mengguna pakai sistem eP sepenuhnya.

“Ini bagi memastikan sistem perolehan kerajaan secara atas talian bagi menjana faedah maksimum.

“Susulan arahan itu, kementerian telah melaksanakan sebanyak 793 tender melalui eP sepenuhnya melibatkan 319 tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB), 215 tender perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) dan 259 tender perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK),” kata jurucakap itu.

Katanya, lima jawatankuasa terlibat dalam proses penilaian setiap tender, iaitu Jawatankuasa Spesifikasi, Jawatankuasa Pembuka, Jawatankuaa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Penilaian (Kombinasi Pembuka, teknikal dan Kewangan).

Jelas jurucakap itu lagi, keseluruhan seramai 2,018 ahli menganggotai semua lima jawatankuasa tersebut, iaitu 1,112 ahli bagi tender perkhidmatan BMB, 454 ahli bagi PKK dan 452 bagi KBK.

“Setelah tender ditutup, Bahagian perolehan telah menerima sebanyak 207,432 tawaran iaitu 81,870 bagi BMB, 63,983 (PKK), dan 61,579 (KBK). Ini bermakna, daripada 207,432 pembekal yang menyertai tender, hanya 0.4 peratus atau 793 pembekal yang berjaya mendapat tender ditawarkan itu.

“Baki 206,639 penender bersamaan dengan 99. 96 peratus daripada 207,432 penender tentunya tidak berjaya dengan sebab bilangan projek yang sedikit berbanding bilangan penender yang menyertai .

“Ingin ditegaskan bahawa Menteri, KSU, Setiausaha Politik Menteri dan Setiausaha Bahagian Perolehan tidak terlibat sama sekali dalam proses membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette