Michael R White. foto Agensi

TEHRAN – Iran mengesahkan telah menahan seorang rakyat Amerika Syarikat.

Bekas tentera laut, Michael R White, 47, ditahan ‘tidak lama dulu’ dan kini berada di penjara Iran, kata Menteri Luar Tehran.

White merupakan tahanan pertama warga Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Presiden Donald Trump.

Bahram Ghasemi berkata, Amerika Syarikat telah dimaklumkan tentang penahanan lelaki itu.

Ibu White memberitahu media Amerika Syarikat, anaknya telah hilang di Iran sejak Julai lalu semasa melawat teman wanitanya.

White sepatutnya pulang melalui Dubai pada 27 Julai lalu.

Joanne White berkata, beliau tidak tahu dakwaan yang dihadapi oleh anaknya.

Menurut beliau, White pernah melawat Iran sebanyak lima atau enam kali.

“Apa yang saya tahu dia masih hidup dan kami memohon lawatan konsulat oleh Switzerland,” katanya.

Amerika Syarikat dan Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik dan komunikasi antara dua negara dilakukan melalui diplomat-diplomat Switzerland.

White telah ditahan di bandar Mashhad dan dilaporkan pada hari Isnin lalu melalui blog Iranwire.

Maklumat itu berdasarkan akaun bekas tahanan penjara Iran yang memaklumkan berjumpa dengan White di Penjara Vakilabad di Mashhad pada bulan Oktober lalu.

Aktivis Cyber, Ivar Farhadi berkata, White ditahan ketika sedang bersedia untuk berlepas ke Turki untuk berkahwin dengan teman wanitanya.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Amerika Syarikat ditahan di Iran.

Seorang lagi telah hilang sejak berdekad. – MalaysiaGazette