Sim Tze Tzin
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (kiri) mendengar luahan petani berhubung isu tanah TOL tanah pertanian di Habu Heights, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail digesa memberi tanah pajakan selama 30 tahun kepada pengusaha tanaman di Cameron Highlands yang kini diberikan Lesen Pendudukan Sementara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Tani, Sim Tze Tzin berkata, tindakan kerajaan Pahang yang melengahkan-lengahkan kelulusan pembaharuan pajakan tanah itu menyebabkan aktiviti pertanian di sini terbantut.

“Kira-kira 80 peratus pengusaha kebun menghadapi masalah pemilikan tanah pertanian dan kebanyakan tapak pertanian ini diusahakan di atas tanah milik kerajaan negeri.

“Setiap tahun kena perbaharui dan petani mencadangkan mereka diberi tanah pajakan sekurang-kurangnya 30 tahun atau maksimum 90 tahun dan itu terpulang kepada kerajaan negeri.

“Pajakan tanah ini boleh dibuat untuk tempoh panjang dan pekebun akan rasa selamat dan hasil tanaman mereka terjamin,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR Tanah Rata hari ini.

Sim Tze Tzin
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin bercakap pada sidang media mengenai isu tanah pertanian di Bilik Gerakan PKR, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2019.

Sementara itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama bagi memodenkan Cameron Highlands merangkumi pertanian moden, agro pelancongan dan industri asas tani.

“Kementerian ini tidak diskriminasi mana-mana parti politik baik Barisan Nasional (BN) atau PH. Usaha kita untuk membantu petani-petani, dan membawa perubahan kepada pertanian di Cameron Highlands.

“Kawasan ini masih belum dapat menarik pelancong dari luar negara, jadi masa depan agro pelancongan di sini adalah untuk menuju ke tahap yang lebih tinggi dengan memajukan agro-pelancongan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette