UMNO
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Sebuah sekretariat bagi memantau harga barang ditubuhkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

Sekretariat tersebut akan memulakan operasinya di seluruh negara pada bulan depan, kata ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, kesemua ketua-ketua pemuda bahagian di setiap negeri dikerahkan bagi untuk melakukan pemantauan tersebut.

“Rakyat masih tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kita dapati kerajaan tidak ada mekanisme berkesan dan ini yang perlu kita zahirkan supaya rakyat tidak boleh ditipu.

“Kami akan membuat pemantauan harga barang secara bulanan dan keputusannya akan diuar-uarkan kepada media dan media sosial,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Exco Pemuda UMNO hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, tindakan yang diambil itu adalah bagi membantu kerajaan untuk memastikan agar harga barang tidak terus menekan rakyat.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menegaskan, pihaknya akan menyediakan peguam pemerhati dalam inkues bagi kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas beberapa hari mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur ekoran kecederaan ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November 2018.

Beliau mendakwa, langkah tersebut diambil ekoran terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa kes kematian itu akan ditutup.

“Sebab itu Pergerakan Pemuda UMNO memberikan khidmat ini secara percuma bermula daripada inkues yang akan dimulakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette