KUALA LUMPUR – Pengumuman harga petrol dan diesel masing-masing naik 6 dan 12 sen bermula tengah malam ini menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mengisi tangki minyak kenderaan sementara harga lama masih digunapakai.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa stesen minyak termasuk di Cheras mendapati deretan kenderaan menunggu giliran untuk mengisi minyak.

Suasana malam ini agak berbeza dengan minggu pertama apungan harga minyak diperkenalkan semula serta minggu kedua yang berakhir hari ini.

Kementerian Kewangan menetapkan hHarga runcit RON 95 dinaikkan sebanyak enam sen kepada RM1.98 seliter dan RON97 juga dinaikkan sebanyak enam sen menjadikannya RM2.28 seliter bagi tempoh seminggu sehingga 25 Januari.

Harga diesel pula dinaikkan sebanyak 12 sen seliter kepada RM2.17 berbanding RM2.05 sebelum ini.

Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan itu adalah berikutan produk petroleum yang diproses di pasaran dunia telah menunjukkan trend meningkat kepada AS$63 setong berbanding minggu sebelumnya iaitu AS$60 setong.

Manakala diesel pula meningkat kepada AS$72 setong berbanding AS$68 setong sebelum ini. – MalaysiaGazette