Denda RM100 dan digantung setahun jika salah guna KTMi-Card

KUALA LUMPUR – Kad KTMi-Card dan KTMi-Card Pelajar yang dikeluarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pengguna tren di bawah kendaliannya tidak boleh dipindahmilik.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, KTMi-Card hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket bagi pemegang kad itu sahaja bukan untuk orang lain.

Kata KTMB, surcaj RM100 dan kadar tambang dewasa akan dikenakan kepada penumpang yang menyalahgunakannya.

“KTMi-Card juga akan digantung untuk tempoh setahun, pastikan anda mempamerkan KTMi-Card (Virtual) dan kad pengenalan kepada pemeriksa tiket,” kata kenyataan itu.

Penumpang juga wajib menunjukkan kad KTMi-Card (virtual) yang sah laku dan kad pengenalan asal semasa pemeriksaan tiket oleh petugas KTMB di pintu pelepasan dan juga di dalam tren.

“Jika nama dan nombor kad pengenalan pada KTMi-Card berbeza dengan maklumat yang dicetak pada tiket, surcaj RM100 dan kadar tambang dewasa akan dikenakan dan kad tersebut juga akan digantung selama setahun.

“Jika pemegang KTMi-Card menaiki tren tanpa tiket walau dengan apa sebab sekali pun, tiket dengan kadar tambang dewasa tanpa konsesi beserta denda akan dikenakan,” kata KTMB.

Untuk sebarang maklumat lanjut berhubung permohonan kad, orang ramai boleh menghubungi talian 03-226 71200 atau www.ktmb.com.my atau @ktmberhad di Twitter dan KTM berhad di facebook. – MalaysiaGazette