LONDON – Chelsea dijadualkan menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam pertembungan pusingan kelima bagi memburu slot untuk ke pentas suku akhir bulan depan.

Perlawanan peringkat kalah mati yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 18 Februari ini menyaksikan Manchester City mendapat laluan lebih mudah untuk merealisasikan impian memburu empat trofi musim ini apabila diundi berdepan Middlesbrough atau Newport County.

United, yang mengalahkan Arsenal pada pusingan keempat minggu lalu merekod lapan kemenangan berturut-turut di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Bagaimanapun, pada kali ini mereka bakal berdepan saingan lebih getir.

Kekuatan United bakal diuji skuad bimbingan Maurizio Sarri di gelanggang lawan.

Newport yang kini berada di kedudukan ke-14 Liga Dua terpaksa beraksi pada perlawanan ulangan di laman Middlesbrough selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi di Riverside, hujung minggu lalu.

Terdahulu, Newport menyingkirkan pasukan Liga Perdana, Leicester City di pusingan ketiga, dan jika layak, mereka bakal memperjudikan nasib berdepan City yang dibimbing Pep Guardiola.

Hanya tujuh pasukan utama masih kekal dalam perebutan itu yang menyaksikan Crystal Palace akan melayan Doncaster, manakala, Watford bakal berkunjung ke Portsmouth atau QPR. – MalaysiaGazette