Pesawat AirAsia di klia2

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (yang secara kolektifnya dipanggil Malaysia Airports) telah menyerahkan sepucuk surat permintaan kepada AirAsia Bhd., AirAsia X Bhd. serta ketua pegawai eksekutif kedua-dua syarikat berkenaan untuk menarik balik artikel-artikel yang telah diterbitkan di dalam AirAsia Newsroom.

Malaysia Airports juga meminta syarikat penerbangan tambang murah itu menghentikan sebarang kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan mengenai syarikat pengendali lapangan terbang tersebut secara serta-merta.

“Malaysia Airports tidak mempunyai masalah sekiranya AirAsia mahu memaklumkan para pemegang sahamnya mengenai progres dan status terkini kes saman yang dihadapi oleh syarikat tersebut.

“Bagaimanapun, AirAsia telah melampaui batas dengan menerbitkan kenyataan-kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan di media dengan hasrat untuk merosakkan reputasi Malaysia Airports.

“Susulan itu, Malaysia Airports tidak mempunyai pilihan lain selain menghantar Surat Permintaan (Letter of Demand) untuk melindungi kepentingannya,” kata syarikat pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malaysia Airports katanya masih tetap pada pendirian asalnya berhubung pertikaian di antara kedua-dua syarikat yang kini sudah menjadi kes mahkamah.

“Justeru, tiada sebab untuk AirAsia untuk membuat kenyataan yang bukan-bukan kepada Malaysia Airports,” tambah syarikat itu lagi.

Katanya, Malaysia Airports mempunyai hak untuk mengambil langkah selanjutnya sekira AirAsia enggan untuk mematuhi Surat Permintaan tersebut atau terus membuat kenyataan-kenyataan palsu, tidak tepat atau mengelirukan kepada syarikat berkenaan.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan