Gambar hiasan: Pesakit campak

KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah sedang berusaha untuk menvaksinkan semua kanak-kanak terutamanya yang tidak mempunyai kerakyataan susulan penyebaran wabak campak di Filipina ketika ini.

Menterinya, Datuk Stephen Wong berkata, campak yang disebabkan oleh virus yang dibawa oleh udara adalah sejenis virus yang sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

“Setakat ini, kita belum menemui penyebaran virus tersebut di Sabah tetapi kita perlu mencegahnya dengan segera dengan menvaksinkan semua kanak-kanak terutamanya yang tidak mempunyai kerakyatan,” katanya di sini.

Menurut Stephen, beliau masih lagi memikirkan mekanisme untuk memastikan kanak-kanak tanpa kerakyatan dapat divaksinkan.

“Setakat tahun ini, Sabah merekodkan dua kes campak jadi tidak perlu bimbang sangat,” katanya lagi.

Menurut beliau, negeri itu mencatatkan 73 kes campak dengan satu kematian tahun lalu yang mana kira-kira 40 peratus daripada kes tersebut berlaku kepada kanak-kanak berusia dua sehingga tujuh tahun.

Daripada jumlah tersebut, 15 peratus telah divaksinkan sebelum dijangkiti virus berkenaan.

Daerah seperti Kudat, Semporna, Kota Kinabalu dan Tawau merekodkan jumlah tertinggi kes campak di negeri tersebut.

Selain campak, Stephen turut bimbang dengan peningkatan kes denggi di negeri berkenaan.

Katanya, pada tahun ini sahaja, jumlah pesakit denggi telah merekodkan 500 orang bagaimanapun tiada kes kematian direkodkan. – MalaysiaGazette