Rayuan pemohon haji untuk tahun ini masih belum dimuktamadkan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masih belum muktamad atau mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon rayuan haji.

Ini kerana, Tabung Haji masih dalam proses penilaian ke atas setiap permohonan rayuan secara individu.

Proses ini mengambil kira semua kategori rayuan yang akan dinilai dengan terperinci.

Tabung Haji dalam kenyataannya berkata, surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat dan berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing.

Tambahnya, sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan).

Istito’ah atau kemampuan mengerjakan haji termasuk mempunyai wang yang cukup untuk menampung semua perbelanjaan menunaikan haji; mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup termasuk nafkah orang di bawah
tanggungan yang akan ditinggalkan di tanah air selain kesihatan; terpilih dalam kuota; dan mempunyai mahram (bagi wanita).

Kos sebenar untuk mengerjakan haji pada musim 1440H/2019M adalah sebanyak RM22,900 bagi seorang jemaah haji Muassasah.

Kos tersebut untuk membayar harga tiket penerbangan sewa (carter) pergi balik, penginapan, pengangkutan, sajian makanan dan bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tempoh lebih 40 hari jemaah berada di Tanah Suci.

Ini belum mengambil kira perbelanjaan oleh TH untuk menyediakan perkhidmatan secara percuma seperti pelbagai Kursus Haji di seluruh negara, urusan stesen berlepas dan ketibaan di tanah air, pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan, buku-buku bimbingan, pembimbing ibadat haji, kaunter kewangan, kaunseling dan petugas haji, perubatan serta peronda.- MalaysiaGazette