Ahmad Dzaffir Mohd.Yussof.
Ahmad Dzaffir Mohd Yussof

KAJANG – Polis akan menyiasat dakwaan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diserang sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil PRK Semenyih pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd.Yussof berkata, polis mendapat maklumat itu tetapi belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai kejadian yang menimpa Syed Saddiq.

“Pihak kami masih menjalankan siasaan dan setakat ini belum terima apa apa laporan rasmi lagi berhubung insiden itu,” katanya ketika ditanya pemberita di Dewan Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Taman Saujana Impian di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada polis telah menerima laporan Menteri Belia dan Sukan itu diserang penyokong BN selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih yang diadakan 9 hingga 10 pagi ini.

Tambahnya, polis menerima maklumat awal ada kumpulan penyokong cuba merapatkan diri dengan Syed Saddiq selepas tamat penaman calon ketika beliau menuju ke keretanya.

“Kita akan siasat insiden itu, cuma setakat ini belum ada dapat apa apa laporan rasmi lagi, maka saya tak boleh nak komen banyak,” katanya.

Dakwaan diserang itu dimuat naik oleh Syed Saddiq sendiri di laman Facebook miliknya dengan menyatakan satu laporan polis akan dibuat di Balai Polis Sungai Way petang ini.

Dakwa Ahli Parlimen Muar itu mendakwa dihembur dengan kata-kata kesat seperti babi, bangsat serta serangan fizikal yang dianggap melampau. – MalaysiaGazette