Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan khabar angin yang mendakwa  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau telah ditetapkan ada 30 Mac ini.

Ia juga menolak kenyataan kononnya hari penamaan calon bagi kerusi DUN Rantau adalah pada 16 Mac.

Pengerusi SPR , Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Malaysia Gazette menafikan maklumat yang tular itu.

“Salah (tarikh 30 Mac) dan tidak benar (penamaan calon 16 Mac). Belum lagi (menetapkan tarikh),” katanya kepada menafikan perkara itu hari ini.

Sebelum itu, satu makluman ringkas tersebar menggunakan nama dan jawatan Azhar dalam SPR kononnya telah mengumumkan tarikh dan penamaan calon bagi kerusi DUN Rantau seolah-olah sudah dimuktamadkan.

Kebiasaannya, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh keluar writ PRK,  hari mengundi, hari mengundi awal serta hari penamaan calon sebelum mengumumkan secara rasmi menerusi sidang media khas.

Sebelum itu SPR akan mendapatkan pengisytiharan kekosongan kerusi itu secara bertulis daripada kerajaan Negeri Sembilan sebelum proses mesyuarat khas penetapan tarikh PRK DUN Rantau ditetapkan.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR,  Dr S.Streram memfailkan petisyen di Mahkamah Seremban untuk meminta mengumumkan kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Mohamad Hasan pada Penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 28 April lalu sebagai tidak sah.

Pada 18 November lepas Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal dan PRK harus diadakan SPR.

Mohamad Hasan selaku penyandang telah merayu di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan itu.

Bagaimanapun dalam pendengaran semalam beliau gagal dalam rayuan itu selepas mahkamah tertinggi berkenaan di Putrajaya mengekalkan keputusan itu dan membenarkan SPR untuk mengadakan satu PRK dalam tempoh 60 hari.-MalaysiaGazette