Hotel Royale Chulan Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – Boustead Holdings Bhd bersetuju untuk  menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta.

Persetujuan itu dibuat selepas menerima tawaran daripada Hotel Royal Limited, yang berpangkalan di Singapura, menurut Boustead Holdings dalam notis kepada Bursa Malaysia.

Hotel Royal Chulan Bukit Bintang dimiliki oleh Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd (BHR), anak syarikat penuh milik Boustead Holdings.

Ia terletak di dua bidang tanah dengan pemilikan bebas seluas 3,189 meter persegi.

Katanya, Hotel Royal Limited telah diberi tempoh eksklusif tempoh selama satu bulan untuk membuat penilaian ke atas Royale Chulan Bukit Bintang dan pelaksanaan perjanjian jual beli akan dibuat dalam tempoh berkenaan.

Pembeli juga  telah membayar sejumlah RM3.94 juta, sebagai deposit sebanyak dua peratus dari Pertimbangan Pelupusan, sebagai sebahagian daripada terma Surat Tawaran.

Sekiranya perjanjian jual beli tidak dilaksanakan untuk apa jua sebab, deposit akan dikembalikan sepenuhnya kepada pembeli dalam tempoh 14 hari dari tarikh permintaan bertulis pembeli kepada BHR.- MalaysiaGazette