Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR- China sanggup menurunkan harga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),sekali gus menunjukkan rundingan di antara Malaysia dengan negara berkenaan mengalami progres yang positif.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam temubualnya dengan Bloomberg semalam di Putrajaya berkata, rundingan di antara Malaysia dan China sudah menghampiri penghujungnya.

Rundingan tersebut diketuai  Penasihat Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin dengan sasaran untuk mengecilkan saiz projek dan kos, katanya lagi.

“Ianya tidak dibatalkan sehinggalah kita sudah tidak mampu lagi berunding dari segi nombor.

“China memahami kekangan yang Malaysia alami dan bersedia untuk mengecilkan saiz projek dan kos.

“Rundingan mungkin boleh dikatakan sudah berada di peringkat akhir,” ujarnya.

Projek yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akhirnya tergantung apabila pemerintahan bertukar tangan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Dr. Mahathir.

Sejak kembali berkuasa pada Mei lalu, Dr. Mahathir banyak menguji hubungan di antara Malaysia dan China.

Di samping projek ECRL, beliau turut membatalkan projek saluran gas yang didokong oleh China, mengkritik pemilikan asing dalam pembangunan perumahan yang dipasarkan untuk rakyat China serta memberi amaran terhadap penjajahan bentuk baharu semasa lawatannya ke Beijing.- MalaysiaGazette