Muhyiddin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Ceramah Isu-isu Semasa sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di PDM Batu 26 Beranang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membayangkan sesuatu yang gembira berkaitan tol dan akan diumum dalam masa terdekat.

Perkara itu diberitahu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyatakan Kabinet kini sedang berbincang mengenai perkara itu.

“Tol kita baru bincang dalam Kabinet mungkin dalam sehari dua ini ada statement (kenyataan) berkaitan dengan tol.

“Saya tak boleh nak cakap kerana biar lah menteri berkaitan yang buat pengumuman,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum pada kempen calon Pakatan Harapan (PH) di Kampung Batu 26, Beranang di sini malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PH menerusi manifestonya berjanji mahu menghapuskan kutipan tol secara berperingkat di seluruh negara sekiranya menang pilihan raya itu.

Pemansuhan tol adalah antara 10 janji PH yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih kerajaan persekutuan dan turut terkandung di dalam Buku Harapan. – MalaysiaGazette