KUALA LUMPUR – Prestasi ekonomi negara dijangka lembap pada bulan-bulan mendatang berdasarkan Indeks Pelopor (IP) yang dikumpul untuk bulan Disember 2018 oleh Jabatan Perangkaan.

IP adalah indeks yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan dan adalah petunjuk bagi keadaan ekonomi pada jangka masa yang akan datang ataupun petunjuk utama.

Maksudnya, bacaan indeks untuk Disember 2018 iaitu -1.7 peratus menggambarkan keadaan ekonomi untuk suku pertama dan suku kedua tahun depan akan lembap.

Datuk Seri Najib Razak berkata, laporan itu menunjukkan indeks ini telah susut bagi tempoh 7 dari 8 bulan yang dipantau selepas PRU14 iaitu dari bulan Mei sehingga Disember berbanding indeks yang semakin naik sebelum itu.

“Ini menunjukkan angka negatif untuk 6 bulan berturut-turut. Lebih membimbangkan ialah angka penyusutan ini nampaknya semakin menjunam untuk 6 bulan yang terakhir.

“Dari bulan Januari sehingga April 2018, indeks yang sama menunjukkan kenaikan ataupun positif untuk setiap bulan. Tetapi selepas PRU14, ianya negatif untuk 7 dari 8 bulan, iaitu dari Mei hingga Disember,” katanya dalam hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette