KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bertindak memfailkan saman terbaharu dengan menuntut kembali sekitar AS$38 juta (RM154 juta) menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini sekaligus menjadikan jumlah aset tuntutan saman kira-kira kira AS$1.7 bilion atau hampir RM 6.9 bilion ketika ini.

Saman yang difailkan di California, AS semalam antara lain  mahu menuntut hartanah mewah di London dan New York.

Turut dituntut  ekuiti dalam syarikat pengurusan kemudahan di Kentucky, yang didakwa DoJ ada kaitan dengan bon yang ditawarkan 1MDB pada 2012 dan 2013.

DOJ melalui peguamnya, Nick Hanna dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan ini bertujuan mengambil kembali aset-aset dimiliki oleh induvidu atau pegawai serta sekutu dipercayai terlibat dalam rasuah.

“Kita sasar aset yang telah diambil oleh kumpulan ini melalui skim penipuan besar-besaran dengan mencuri beberapa bilion dolar daripada rakyat Malaysia dan hasilnya diubah di serata dunia,” kata Hanna.

DOJ menjangkakan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion ‘dilesapkan’ oleh pegawai atasan 1MDB selain sekutunya antara 2009 dan 2014 yang juga termasuk dana yang didapatkan oleh Goldman Sachs sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menangguhkan terlebih dahulu proses ektradisi bekas jurubank Goldman Sachs sementara menunggu perbicaraan di Malaysia selesai terlebih dahulu.

DOJ telah mengemukakan pertuduhan bersubahat melakukan rasuah dan penggubahan wang haram terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB.

Jabatan berkenaan telah menahan bekas jurubank, Ng Chong Hwa di Malaysia semalam dan membuka pertuduhan terhadap seorang lagi bekas jurubank berkenaan, Tim Leissner, yang telahpun mengaku bersalah dan bersetuju membayar AS$43.7 juta (RM182.7 juta) sebagai pemulangan wang yang diperoleh secara haram.

Pihak tersebut turut mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana didakwa menjadi dalang dan perantara 1MDB namun tertuduh masih tidak dapat dikesan. –MalaysiaGazette