Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pelik dengan sikap Datuk Seri Najib yang kini bertindak sebagai jaguh rakyat selepas pengumuman tentang penunaian janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang meringankan beban rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, bekas Perdana Menteri itu seharusnya gembira dan kagum akan kebolehan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad melunaskan janji penghapusan tol.

Jelas beliau, ini kerana Najib telah meninggalkan beban hutang negara yang terbesar dalam sejarah sejak Malaysia merdeka lagi, semestinya beliau sendiri menyedari kesukaran yang dihadapi.

“Memandangakn negara dilanda rentetan Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis pada Ogos tahun lepas, tidak mungkin inisiatif pemansuhan tol seperti ini dapat diumumkan tanpa ia berlaku pada tempoh menjelang suatu PRK.

“Adakah Najib merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menunggu masa di luar tempoh mana-mana PRK sebelum menunaikan apa-apa janji manifesto Buku Harapan?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam selepas Najib mempertikaikan pengumuman cadangan penurunan tol di beberapa lebuhraya sekitar Selangor dan Kuala Lumpur seolah gimik kerajaan PH menjelang PRK Semenyih dengan rasa penuh kesal.

Akhramsyah turut berharap Najib memohon maaf atas keterlanjurannya mengkritik sesudah maklumat usaha terkini pemansuhan tol diperincikan semalam oleh Pejabat Perdana Menteri dan ternyata ia memanfaatkan jutaan masyarakat yang disentuh, bukan sekadar pengundi Semenyih.

“Saya harap ia juga menghentikan hamburan fitnah Barisan Nasional yang kononnya kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihanraya.

“Walaupun saya tidak setuju dengan slogan peribadi Najib yang seolah-olah mengajar masyarakat yang seorang ‘Boss’ tidak perlu malu atas segala tindak-tanduknya, sebagai seorang pemimpin Pakatan Harapan, saya menghormati haknya untuk suara, namun berharap beliau lebih prihatin dalam bersuara.

“Kita ambil yang jernih dan buang yang keruh, maka di sini ingin saya berterima kasih kepada Najib kerana memberi peluang PH menjelaskan dengan lebih baik bukti penunaian janji-janji kita untuk menurunkan kos sara-hidup rakyat dengan memansuhan tol secara berperingkat,” katanya. – MalaysiaGazette