Zakaria Hanafi
Zakaria Hanafi

SEMENYIH – ‘Kehilangan’ calon Pakatan Harapan (PH) Muhamamd Aiman Zainali hari ini mungkin disebabkan hal-hal peribadi.

Demikian menurut pencabarnya, Zakaria Hanafi daripada Barisan Nasional (BN) kepada media, hari ini.

“Saya ada jumpa dia di rumah orang meninggal pagi tadi.

“Mungkin dia ada hal, saya tidak mahu komen. Saya rasa dia ada hal peribadi,” katanya kepada media hari ini.

Zakaria mengulas mengenai laporan terdahulu MalaysiaGazette yang mempersoalkan keberadaan Aiman dalam kempen hari kesepuluh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, hari ini.

Aiman hari ini dicari media yang membuat liputan PRK Semenyih sejak malam tadi bagi mengetahui pergerakan kempennya.

Namun sehingga tengahari media hanya dimaklumkan bahawa beliau pergi menziarahi seorang penduduk yang meninggal dunia tetapi tidak dinyatakan alamat lengkapnya.

Media malah berang apabila jadual harian kempen Aiman juga tidak dikemaskini sejak awal pagi tadi.

Ketika laporan itu dibuat, Aiman dilaporkan berada di Putrajaya untuk satu majlis.

Rata-rata media mengeluh kerana perkara itu menyukarkan tugas wartawan dan juga jurugambar yang sepatutnya fokus kepada jadual kempennya.

Dalam pada itu, Zakaria turut optimis akan merampas kembali kerusi berkenaan memandangkan sokongan kuat daripada Pas.

“Saya mahu menang 60 peratus. Kita kan ada empat hari lagi.

“Pas ikhlas untuk bantu BN di Semenyih. Kita pun telah buat mesyuarat bersama banyak kali baik di peringkat pusat mahupun cawangan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/25/dimana-aiman/