KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan tindakan terburu-buru Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) didakwa menjual sebuah hotel miliknya yang terletak di Jalan Bukit Bintang.
Beliau hairan apabila hotel terbabit dijual kepada sebuah syarikat di Singapura pada harga lebih rendah berbanding hotel berdekatan yang jauh lebih mahal sebelum ini.
“Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat LTAT, Boustead Holdings telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga RM197 juta minggu lepas.
“Dilaporkan Boustead terpaksa menjual hotel ini kerana LTAT perlukan wang. Mengapakah LTAT tiba-tiba terdesak untuk memerlukan wang?” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Pada minggu lalu, Boustead Holdings Bhd bersetuju untuk menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta.
Persetujuan itu dibuat selepas menerima tawaran daripada Hotel Royal Limited, yang berpangkalan di Singapura, menurut Boustead Holdings dalam notis kepada Bursa Malaysia.

Hotel Royale Chulan Bukit Bintang dimiliki oleh Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd (BHR), anak syarikat penuh milik Boustead Holdings.

Ia terletak di dua bidang tanah dengan pemilikan bebas seluas 3,189 meter persegi.

Najib juga berkata, penjualan aset ini bukan kali pertama dijual dalam era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bahkan mensasarkan segala aset kerajaan yang diperoleh ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“IHH Berhad telah dijual oleh Khazanah kepada Jepun pada November lalu dengan harga RM8.42 bilion.

“Seluruh pegangan Khazanah melalui Axiata di dalam syarikat telco M1 juga telah dijual kepada Singapura dua minggu dahulu dengan harga RM1.65 bilion.

“Minggu lepas juga, lebih setengah dari pegangan Khazanah dalam bank Filipina terbesar BDO Unibank Inc telah dijual kepada Filipina dengan harga RM415 juta yang juga di bawah harga pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ttps://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/royale-chulan-dijual-pada-harga-rm197j/