Nasaruddin Abdullah

SHAH ALAM – Saksi ke-17 hari ini memberitahu bahawa beliau melihat sekumpulan kira-kira 30 lelaki mengelilingi seseorang sambil lima atau enam daripada mereka bertindak memijak, menumbuk dan memukul individu berkenaan.

Nasaruddin Abdullah yang berada di kawasan rusuhan itu bersama rakannya yang dipanggil Kartik pada malam 27 November tahun lalu berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang seminit.

Kumpulan lelaki berketurunan India itu, menurut beliau, turut mengeluarkan kata-kata kesat memaki antaranya “berani kamu masuk kawasan kuil India”.

“Selepas van (EMRS) berpusing saya nampak 30 orang Tamil mengelilingi. Saya tak pasti ada orang atau tidak mengelilingi sesuatu. Mereka mencarut dan berkata  berani kamu masuk dalam kuil India. Babi (maki dalam bahasa India), pundek (mencarut dalam bahasa india).

“Saya nampak pergerakan mereka pukul, sepak dan memijak.

“Tidak lama,saya rasa tidak sampai satu minit, keadaan berlaku pantas,” katanya kepada Mahkamah Koroner semasa prosiding inkues menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari ke-11 sebentar tadi. 

Nasruddin yang merupakan seorang mualaf memberi keterangan dalam bahasa Tamil.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan sama ada kumpulan tersebut bersenjata atau tidak.

Katanya, semasa melihat kumpulan lelaki berkenaan beliau mendengar jeritan yang menyebut “polis polis” menyebabkan mereka bersurai dan melarikan diri menuju ke Kuil Sri Maha Mariamman.

Selepas kumpulan tersebut bersurai beliau nampak seorang lelaki berseluar bomba celoreng diusung oleh lebih kurang lapan orang ke arah sebuah stesen minyak Caltex tidak jauh dari kuil.

Selain itu melihat seorang lelaki merakam video dan pada masa yang sama sekumpulan lelaki mengusung seorang lelaki memakai seluar bomba dan seakan-akan tidak berbaju.

Beliau dan Kartik datang ke kuil bersama dengan menaiki motor ibunya. – MalaysiaGazette