KUALA LUMPUR – Para pelanggan bank diminta segera menghubungi bank masing-masing jika menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.
Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) berkata, pelanggan-pelanggan bank harus memulakan komunikasi dengan bank masing-masing untuk membincangkan pilihan pembayaran dan pengaturan seperti penyusunan semula hutang dan/atau pembiayaan semula.
Institusi  kewangan juga memainkan peranan penting dengan menghubungi peminjam segera apabila mengesan tanda-tanda kesukaran pembayaran balik supaya pilihan pembayaran balik alternatif dapat dilakukan.

“Penarafan kredit terhadap seorang peminjam mungkin akan terjejas sekiranya dikategorikan sebagai peminjam yang gagal membayar hutang.

“Oleh itu, penting untuk menghubungi bank masing-masing untuk melaksanakan alternatif pembayaran sebelum tindakan undang-undang dimulakan terhadap peminjam pinjaman.
“Rampasan atau sebarang bentuk tindakan undang-undang terhadap peminjam hanya boleh dimulakan apabila percubaan lain yang munasabah untuk mencapai resolusi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

ABM berkata, pelanggan bank yang tidak berpuas hati dengan keputusan institusi kewangan boleh merujuk perkara tersebut kepada Pusat Perhubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK).

“Mereka juga boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menawarkan bantuan menerusi kaunseling kewangan dan penstrukturan semula pembayaran melalui pelan pengurusan hutang,” kata ABM. – MalaysiaGazette