NUFAM menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran selepas mengadakan satu pertemuan semalam.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menyerahkan satu memorandum meminta bantuan kerajaan untuk menaikkan taraf profesion pekerja kru kabin di negara ini kepada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Ini termasuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit seperti pengangguran dalam kalangan pekerja kru kabin yang telah diberhentikan oleh Malaysia Airlines dalam penstrukturan semula syarikat penerbangan tersebut pada 2015 serta bayaran pampasan kepada pekerja.

“Kerajaan juga harus tahu bahawa ramai antara pekerja-pekerja ini masih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih mengalami kesusahan sehingga hari ini atas sebab proses pembuangan tersebut.

“Kesatuan mahu kerajaan meneliti semula isu-isu yang berbangkit kepada masalah pembuangan pekerja oleh syarikat GLC.

“Isu ini tidak boleh dinafikan atau ditolak tepi oleh kerajaan hari ini kerana sudah jelas banyak kesilapan telah berlaku dari segi pengstrukturan syarikat penerbangan yang disusun semula oleh Khazanah Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

NUFAM juga mendakwa ramai di antara pekerja kru kabin tidak menerima gaji daripada syarikat mereka sejak berbulan-bulan lalu dan ada syarikat penerbangan yang menggunakan alasan tidak membuat untung apabila gagal membayar kenaikan gaji tahunan kepada pekerja tetapi dalam masa yang sama mampu menaja program bernilai puluhan juta ringgit.

“NUFAM juga telah menegaskan agar syarikat penerbangan dapat mengikut SOP dan undang undang yang sedia dalam isu bayaran gaji kepada pekerja.

“Ada pula sesetengah syarikat penerbangan ini tidak membayar gaji pekerja berbulan bulan lamanya. Ini sama sekali telah melanggar undang undang buruh,” katanya.

Antara isu lain yang dibangkitkan semasa mesyuarat dengan Kula Segaran, semalam adalah polisi bayaran gaji oleh syarikat penerbangan yang mana ada sesetengah syarikat yang hanya membayar gaji pokok sebanyak RM1,000 meskipun telah beroperasi sejak sekian lama serta isu keselamatan pekerja yang terpaksa bergegas ke lapangan terbang apabila dipanggil untuk bertugas di saat-saat akhir.

Ramai yang mengalami kecederaan dan kemalangan jalan raya disebabkan oleh perkara tersebut, kata NUFAM.

Isu keselamatan pekerja wanita di dalam pesawat juga telah dibangkitkan secara mendalam pada sesi mesyuarat tersebut. -MalaysiaGazette