Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, hilang ketika dalam jagaan pengasuh hujung bulan lalu.

LANGKAWI – Mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah yang hilang ketika dalam jagaan pengasuh hujung bulan lalu ditemui di sebuah kawasan hutan di Langkawi hari ini dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.

AstroAwani melaporkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Suprintenden Mohd Iqbal Ibrahim hari ini mengesahkan telah menjumpai rangka mayat kanak kanak terbabit di kawasan hutan Gunung Raya.

Penemuan itu terbongkar selepas soal siasat dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang menjaga kanak kanak terbabit sebaik sahaja ditahan di Ampang pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Pulau Langkawi.

Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek menyatakan bahawa kanak kanak terbabit mengalami sawan ketika dimandikan dan tidak sedarkan diri.

Salah seorang suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggalkan kanak kanak terbabit di satu kawasan hutan.

Jelasnya lagi, kedua-dua suspek juga telah dibawa ke Langkawi dari Ibu Pejabat Polis Ampang untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette