Unit Pemantauan Isu Hina Islam akan memantau semua platform.
KUALA LUMPUR – Berikutan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan perbuatan mempersendakan agama Islam, satu unit memantau tindak-tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah ditubuhkan.
Unit tersebut akan diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam di semua platform media termasuk media sosial akan dipantau oleh unit tersebut.

“Saya juga telah meminta unit pemantau ini menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seterusnya dengan segera membuat laporan polis dan SKMM.

“Kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, sila whatsapp segera ke talian hotline 010 300 52 60 atau emelkan kepada [email protected].

“Saya berharap kita semua dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mujahid, beliau percaya pihak berkuasa telah melakukan tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini.

Beliau berkata, pihaknya selaku menteri agama sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak yang bersalah mesti dijatuhkan hukuman yang setimpal,” katanya. – MalaysiaGazette