Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menarik keluar sejumlah RM903.2 juta daripada ekuiti tempatan minggu lalu – paras tertinggi dalam tempoh 21 minggu.

MIDF Research berkata, pelabur luar pesisir bertindak keluar daripada pasaran domestik selama empat minggu berturut-turut, pada kadar yang signifikan.

Menurutnya, jualan asing berlaku setiap hari dalam seminggu sepadan dengan tempoh antara 2 hingga 17 Julai tahun lalu.

Aliran keluar bersih asing berjumlah RM198.6 juta pada hari Isnin dan meningkat kepada RM263.3 pada hari Selasa – jumlah terbesar setakat tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kita melihat aliran keluar besar-besaran selari dengan rakan-rakan Asia yang lain iaitu Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan selepas jualan semalaman di Wall Street di tengah-tengah kejatuhan 0.6 peratus yang tidak dijangka dalam perbelanjaan pembinaan Amerika Syarikat untuk bulan Disember 2018,” kata firma penyelidikan itu.

Tahap jualan bersih asing secara beransur-ansur menurun pada dua hari kemudian kepada RM105.2 juta pada
Khamis.

Penguncupan penjualan asing susulan janji kerajaan China untuk menguatkan langkah-langkah rangsangan bagi meningkatkan ekonomi.

Bagaimanapun, jualan besar-besaran berlaku pada hari Jumaat kepada RM193.3 juta.

MIDF Research berkata, kerugian merentasi Pasaran Asia termasuk Malaysia berikutan pengurangan eksport China sebanyak 20.7 peratus pada Februari 2019.

Bagi enam hari pertama dagangan dalam bulan Mac, pelabur antarabangsa telah menjual sebanyak RM1.06 bilion.

Setakat ini, pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM849.9 juta tahun ke tahun.

Malaysia kini menjadi negara yang mencatatkan aliran keluar tertinggi dalam kalangan empat pasaran yang dipantau.

Manakala Indonesia masih terus mencatatkan aliran masuk asing tertinggi iaitu AS$817.9 juta atau melepasi RM3 bilion meskipun bakal menghadapi pilihan raya.

Penyertaan tiga kumpulan pelabur masih kekal baik tetapi nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing menurun sebanyak 18.4 peratus pada minggu lalu tetapi pelabur runcit dan institusi meningkat. – MalaysiaGazette