KUALA LUMPUR – Malaysian Press Institute (MPI) menerima sebanyak 267 penyertaan untuk dipertandingkan dalam 20 kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018).

Jumlah itu menurun berbanding 349 penyertaan yang direkodkan untuk HKM2017.

Semua penyertaan yang diterima adalah karya-karya kewartawanan yang diterbitkan dan disiarkan di pertubuhan media masing-masing sepanjang tahun 2018.

MPI berkata, pihaknya kini sedang melakukan proses penghakiman.

Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang mendapat penyertaan tertinggi iaitu 42 penyertaan, diikuti 25 penyertaan diterima masing-masing bagi kategori Foto Esei Cemerlang dan Berita Video Terbaik.

MPI turut menerima tiga pencalonan bagi kategori Anugerah Khas Juri manakala satu pencalonan bagi kategori Tokoh Wartawan Negara dan Tokoh Media.

Menurut Eksekutif Anugerah MPI, Salman Husni “kategori Penulisan Rencana Cemerlang
mencatatkan penurunan penyertaan yang ketara iaitu hanya 18 penyertaan diterima berbanding 46 pada HKM 2017.

Begitu juga hanya empat penyertaan diterima bagi kategori Kewartawanan Antarabangsa
Cemerlang berbanding 11 penyertaan pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, para hakim berpendapat kesemua karya yang diterima berkualiti untuk dinilai,” ujarnya.

Majlis penyampaian anugerah pada Malam Wartawan Malaysia bakal diadakan pada 26 April 2019
bertempat di Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur.

Hadiah Kajai merupakan anugerah tertinggi yang dipertandingkan dan karya yang dinobatkan sebagai pemenang bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

Dua pemenang saguhati membawa pulang RM1,000 dan sijil penghargaan, manakala pemenang utama bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan kecuali Tokoh Wartawan Negara dan Tokoh Media.

Pemenang bagi Tokoh Wartawan Negara diberi ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

MPI bertindak sebagai penganjur anugerah manakala syarikat minyak negara, Petronas pula merupakan penaja utama HKM 2018.  – MalaysiaGazette