Boustead sah lupuskan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang kepada sebuah syarikat Singapura

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertahanan berkata bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih tidak memahami proses penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd (BHB).

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata, walaupun Najib mendakwa deposit telah dibayar oleh sebuah syarikat milik Singapura itu namun ia tidak bermakna sesuatu urusan jual beli itu selesai.

“Wang deposit masih boleh dikembalikan sekiranya sesuatu urusniaga itu tidak jadi atau terbatal dan pengumuman kepada Bursa Saham Singapura itu perkara biasa bagi sesebuah syarikat untuk memaklumkan kepada pemegang saham tentang aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Selain itu, beliau berkata, masih terdapat beberapa syarat lain yang kedua-dua belah pihak perlu patuhi seperti kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum dimuktamadkan.

Pada 27 Feb lepas, Pejabat Menteri Pertahanan menyatakan penjualan hotel itu masih belum dimuktamadkan.

Sebelum ini media melaporkan LTAT dan BHB bersedia untuk menjual aset strategiknya itu pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada sebuah firma Singapura, Hotel Royal Limited.

— BERNAMA