Hotel Royale Chulan Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan bahawa penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih diteruskan dan tidak dibatalkan.

Sindir bekas perdana menteri itu, banyaknya masa dan wang kerajaan Pakatan Harapan dan syarikat Singapura itu untuk dibazirkan dengan mengupah peguam-peguam bagi membuat perjanjian, membayar deposit, mengumumkan kepada bursa jika langsung tidak ada niat untuk menjual aset berkenaan.

“Kerajaan PH suka membuat kerja sia-sia main-main jual harta beratus juta ke?,” soal Najib.

Najib membuat kenyataan itu selepas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan pengumuman oleh Hotel Royal Limited yang berminat untuk membeli aset itu kepada Bursa Singapura adalah perkara biasa.

Semalam Pejabat Menteri Pertahanan berkata, Najib masih tidak memahami proses penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd (BHB).

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata, walaupun Najib mendakwa deposit telah dibayar oleh sebuah syarikat milik Singapura itu namun ia tidak bermakna sesuatu urusan jual beli itu selesai.

Ini kerana, wang deposit masih boleh dikembalikan sekiranya sesuatu urusniaga itu tidak jadi atau terbatal dan pengumuman kepada Bursa Saham Singapura itu perkara biasa bagi sesebuah syarikat untuk memaklumkan kepada pemegang saham tentang aktiviti mereka.

Selain itu, Amin berkata, masih terdapat beberapa syarat lain yang kedua-dua belah pihak perlu patuhi seperti kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum dimuktamadkan.

Sebelum ini, Najib mendakwa penjualan hotel milik Boustead Holdings itu dijual pada harga yang murah iaitu RM197 juta berbanding hotel yang sama bintang di ibu negara.

Lebih-lebih lagi, hotel yang mempunyai 400 bilik itu terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Najib juga mendedahkan Hotel Royal Limited telah memberi wang deposit sebanyak RM3.94 juta kepada Boustead dan pembelian aset itu telah diluluskan oleh Bursa Singapura. – MalaysiaGazette