Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Prestasi Bursa Saham Malaysia perlu dilihat untuk tempoh masa panjang dan ia tertakluk kepada pasaran semasa.

Malah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, prestasi bursa adalah di luar kawalan kerajaan.

“Kadangkala kita lihat di negara asing saham naik, Malaysia turun dan kadang kala negara asing turun (Malaysia) naik. Itu di luar kawalan daripada pihak kerajaan,” katanya selepas melancarkan Tabung Pembiayaan Pembangunan Mampan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad di ibu negara hari ini.

Guan Eng menyatakan demikian bagi mengulas laporan Bloomberg bahawa bursa tempatan merupakan satu-satunya pasaran Asia yang merosot di rantau ini setakat hari ini.

Menurut laporan itu, penanda aras Bursa Malaysia telah susut lebih daripada satu peratus.

Singapura naik 5.0 peratus dan Indonesia 3.0 peratus.

Menurutnya, media berhak untuk melaporkan prestasi semaa bursa namun mereka perlu meneliti perangkaan yang lebih konsisten yang direkodkan.

“Kita kena lihat untuk satu tempoh masa sama ada satu suku atau satu tahun. Pada 2018 Malaysia antara bursa saham yang menunjukkan prestasi yang antara terbaik.

“Turun naik saham itu biasa, biar kita buat unjuran berdasarkan satu tempoh masa lebih panjang,” katanya. – MalaysiaGazette