Datuk Seri Ronald Kiandee. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjangka dapat menyelesaikan siasatan tuntutan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion sebelum akhir sesi persidangan Dewan Rakyat pada 1 April ini.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mesyuarat prosiding berhubung isu itu telah dimulakan pada 12 September lalu dengan mengadakan lapan Mesyuarat Prosiding.

Menurutnya, Jabatan Audit Negara (JAN) sudah pun memberi taklimat kepada PAC sebanyak dua kali mengenai pengauditan tuntutan bayaran balik GST.

PAC meminta JAN menjalankan pengauditan terperinci terhadap semua tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion bagi menentu sahkan bahawa tuntutan berkenaan benar-benar berasas untuk dibayar balik.

Malah, jawatankuasa itu sudah mendengar penjelasan daripada semua pihak berkepentingan termasuk Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kewangan, bekas Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“PAC memberi jaminan bahawa segala rumusan dan syor yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam Laporan berhubung Tuntutan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion meliputi semua aspek dan disokong dengan data-data daripada pengauditan JAN,” katanya dalam kenyatan di sini.

Ronald menambah, PAC juga mendapatkan semua pandangan termasuk daripada Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam melaksanakan Mesyuarat Prosiding serta menyiapkan laporan terhadap isu ini. – MalaysiaGazette